BERITA HARIAN 15 DEC 2008~Rombakan subjek akademik
mfarid@bharian.com.my
Datuk Alimuddin Mohd Dom
Ilmu komunikasi pelajaran berteras kesenian diperkenal di sekolah rendah
KUALA LUMPUR: Beberapa mata pelajaran bersifat akademik di sekolah rendah akan digugurkan dan digantikan subjek baru yang memberi penekanan terhadap latihan amali selaras dengan transformasi sistem pendidikan yang akan dilaksanakan mulai 2010.
Mata pelajaran baru yang akan diperkenalkan termasuk komunikasi dan subjek berteras kesenian, seperti drama serta tarian.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian bagaimanapun belum memuktamadkan mata pelajaran yang akan digugurkan kerana kajian mengenainya masih dijalankan.
"Ia akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Langkah memperkenalkan subjek baru bersifat praktikal ini bertujuan menilai kebolehan pelajar secara lebih menyeluruh serta adil dan bukannya berdasarkan peperiksaan semata-mata.
"Ia bagi menyamaratakan peluang antara pelajar bandar dan luar bandar mencapai kecemerlangan lebih seimbang, selain memastikan pelajar seronok mengikuti pembelajaran serta tidak dibebani pelajaran tidak perlu," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Dewan Rakyat, Khamis lalu, mengenai transformasi pendidikan pada peringkat sekolah rendah yang bakal dirintis mulai 2010.
Hishammuddin berkata, rombakan yang menjadi sebahagian agenda utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) itu akan diteliti pihak berkepakaran secara holistik dan antara aspek ditekankan ialah mengenai sejarah negara.
Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, kementerian juga akan menggubal buku teks baru serta sukatan kurikulum yang lebih relevan.
Katanya, ketika ini sistem pendidikan sekolah rendah menyenaraikan terlalu banyak mata pelajaran dengan hampir semua subjek teras, wajib dan tambahan bersifat akademik semata-mata.
Alimuddin berkata, transformasi yang dilakukan itu bukan saja akan memberi wajah baru kepada sistem pendidikan rendah negara, malah bakal memupuk bakat serta kecenderungan pelajar yang tidak terhad kepada akademik semata-mata.
"Objektif utama transformasi ini adalah bagi menghasilkan modal insan yang mempunyai lebih ketrampilan, daya saing dan keyakinan diri yang tinggi, di samping mampu menempatkan diri mereka dalam suasana dunia lebih mencabar nanti.
"Oleh itu, penggunaan sistem penilaian berdasarkan Nilai Gred Purata Komulatif (CGPA) atau sistem pengumpulan mata seperti dilaksanakan institusi pengajian tinggi (IPT) akan diperkenalkan mulai 2010 dengan markah yang diperoleh murid dari Tahun Satu hingga Enam dikumpul dan dikira bagi menentukan pencapaian pelajar," katanya.
Beliau berkata, kementerian sudah memulakan projek perintis bagi memperkenalkan transformasi itu di 50 sekolah rendah terpilih sejak pertengahan tahun ini, manakala 500 sekolah lagi akan memulakan program itu mulai tahun depan.
"Walaupun program perintis sudah dilaksanakan di sekolah terpilih, ia hanya membabitkan sebahagian transformasi yang digariskan dan segala kelemahan yang dikesan akan diperbaiki sehingga ia dilaksanakan di semua sekolah mulai 2010," katanya.
Alimuddin berkata, modul latihan di institut pendidikan guru (IPG) juga dirombak selaras dengan perubahan itu.
Comments